Penyanyi Ibnor Riza perlu menjalani rawatan alternatif di hospital swasta bagi merawat kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya ketika ini.
Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, berkata, selepas menjalani kemoterapi sebanyak enam kali di hospital kerajaan, ia masih belum mampu mematikan sel kanser dalam tubuhnya.
Menurutnya, dia memerlukan kos rawatan sebanyak RM30,000 untuk melakukan dua lagi sesi kemoterapi di salah sebuah pusat perubatan kanser di Petaling Jaya, Selangor.
“Sel kanser masih lagi ada dan saya perlu mengambil langkah alternatif dengan membuat dua sesi kemoterapi di hospital swasta yang menelan belanja RM30,000.
“Jika sel kanser masih tidak dapat dihapuskan maka saya perlu teruskan empat sesi kemoterapi dengan kos RM80,000,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.

Dalam pada itu, Ibnor berkata, jalan terakhir yang perlu dilakukan untuk merawat penyakitnya adalah menerusi pembedahan transplantasi tulang sumsum.
“Saya berusaha untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta ini kerana ubat untuk menyembuhkan penyakit saya yang sepatutnya selepas saya menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali itu sudah nampak perubahan… tetapi rupanya masih sama.
“Jalan akhir sekiranya gagal lagi, barulah saya akan menjalani transplantasi itu pun memerlukan kos sehingga RM200,000 di hospital swasta,” ujarnya ada subsidi di hospital kerajaan.
Sementara itu, Ibnor berkata, beberapa rakan artis turut mengambil inisiatif mengumpul dana menampung kos rawatannya dengan mengadakan ‘Malam Untukmu Ibnor’ yang akan diadakan di Hotel Grand Barakah Kuala Lumpur pada 30 Ogos ini. – Agensi