Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, hari ini, telah menyampaikan sumbangan berupa cek bernilai $2,500 dan minuman Revive kepada iBowl Utama bersempena Kejohanan Piala iBowl Utama yang berlangsung di iBowl Utama, Batu Satu.
Hadir bagi menyampaikan sumbangan tajaan Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd ialah wakil dari syarikat berkenaan, Joey Chen Yue Wen dan diterima oleh wakil dari iBowl Utama, Pengiran Mohammad Rudisofy bin Pengiran Haji Tajuddin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh iBowl Utama menjelaskan acara penyampaian itu bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd atas sokongan berterusan mereka terhadap iBowl Utama.
Kingston merupakan antara syarikat tempatan terbesar yang dikenali dengan pengeluaran produk aiskrim dan minuman. Melalui sumbangan itu juga, syarikat berkenaan berpeluang untuk mempromosikan produk mereka.
Selain itu, ia diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara kedua-dua syarikat dan dapat mengembangkan lagi sukan permainan boling di negara ini.
