MILAN, 18 OKT – Zlatan Ibrahimovic menyumbat dua gol setelah kembali beraksi akibat dijangkiti koronavirus kelmarin, di mana AC Milan berjaya menundukkan musuh ketat Inter Milan, 2-1 dan sekali gus merampas kedudukan teratas Serie A manakala Atalanta tersungkur 4-1 di tangan Napoli.
Sementara itu juara bertahan, Juventus, yang bermain tanpa kelibat Cristiano Ronaldo kerana menjalani pengasingan diri, terikat 1-1 dengan pasukan yang baru dipromosikan, Crotone, yang mengutip mata pertama mereka bagi musim ini dan mengeluarkan mereka dari kedudukan tercorot liga.
“Perlawanan derbi ini sangat penting, sebuah perlawanan derbi yang AC Milan tidak pernah memenanginya dalam tempoh empat tahun,” kata Ibrahimovic yang menjaringkan dua gol.
Milan kini memenangi empat perlawanan pembukaan mereka di Serie A buat kali pertama sejak musim 1995-1996 ketika mereka memenangi kejuaraan semasa kendalian Fabip Capello.
Pemain berusia 39 tahun, Ibrahimovic membuka jaringan pada awal minit perlawanan, dia turut menjaringkan gol semasa pertemuan menentang Inter pada Februari lalu yang berakhir dengan kekalahan 4-2.
Dia gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13 tetapi berjaya menyambut bola, dan hantaran lintang cantik dari Rafael Leao disambut oleh pemain Sweden itu lalu menjaringkan gol keduanya. – AFP