Ibrahimovic julang AC Milan penuh gaya

MILAN, 22 SEPT – Dua jaringan Zlatan Ibrahimovic membantu AC Milan memulakan kempen Serie A dengan bergaya selepas menewaskan Bologna 2-0, awal pagi tadi.

Ibrahimovic yang berusia 39 tahun bulan depan masih tetap berbisa selepas turut meledak gol ketika menentang skuad Ireland, Shamrock Rovers dalam aksi Liga Europa minggu lalu.

“Jika saya berusia 20 tahun saya mungkin menjaringkan dua gol,’’ kata bintang veteran Sweden itu.

“Saya seperti Benjamin Button, nampak tua tetapi sebenarnya muda. Pasukan bekerjasama dengan baik, anda dapat lihat kami tidak mencapai tahap 100 peratus tetapi ia penting bermula dengan baik.”

Ibrahimovic meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-35 selepas melompat tinggi dan menanduk masuk hantaran Theo Hernandez.

Dia meraikan jaringan di hadapan 1,000 penonton yang dibenarkan masuk ke stadium kali pertama dengan kebanyakannya petugas barisan hadapan ketika krisis koronavirus.

Dia turut terlepas peluang menambah jaringan selepas itu apabila dijatuhkan pertahanan Brazil, Danilo.

Tetapi enam minit selepas rehat dia meledak gol kedua menerusi penalti selepas Riccardo Orsolini mengasari Ismael Bennacer.

“Mereka ada Ibrahimovic, kami tidak,” kata jurulatih Bologna, Sinisa Mihajlovic. “Ibra membuat perbezaan, semua peluang Milan datang daripadanya tetapi ia permainan seimbang cuma kami gagal memanfaatkan peluang terbaik.’’ – AFP

Aksi Ibra ketika mengawal bola sambil dihalang oleh pemain Bologna pada perlawanan mereka di Stadium San Siro, Itali. – AP