LONDON, 27 Feb – Zlatan Ibrahimovic telah memberikan kejuaraan utama yang pertama bagi Manchester United di bawah kendalian Jose Mourinho dan menghancurkan harapan Southampton apabila jaringan lewat bintang Sweden itu memastikan kemenangan dramatik 3-2 dalam perlawanan akhir Piala Liga.
Ibrahimovic merupakan antara barisan pemain yang ditandatangani oleh Mourinho ketika jendela perpindahan musim panas lepas, dan dia telah membayar semula kepercayaan pengurusnya dengan persembahan dominan di pentas final Wembley.
Pemain berusia 35 tahun itu telah membuka jaringan dengan sepakan percuma kencang sebelum Jesse Lingard menggandakan pendahuluan United menerusi sepakan leret ke sudut gawang yang gagal dicapai oleh penjaga gol Southampton, Fraser Forster.
Manolo Gabbiadini telah mencetuskan semangat kebangkitan Southampton, dengan menjaringkan gol pertama Southampton sebelum rehat dan kemudian menemui sasaran sekali lagi di awal separuh masa kedua bagi menyamakan kedudukan.
Tetapi Ibrahimovic memuktamadkan perlawanan dengan tandukan kencang di minit ke-87, jaringannya ke-26 bagi kempen ini, bagi memastikan Mourinho menyertai legenda United, Alex Ferguson dan Brian Clough dari Nottingham Forest sebagai pengurus yang telah memenangi Piala Liga sebanyak empat kali.
Mourinho juga telah menjadi pengurus United yang pertama untuk memenangi kejuaraan utama dalam musim pertama di Old Trafford, satu pencapaian yang tidak dicapai oleh Ferguson atau Matt Busby.
Ia merupakan kejuaraan utama ke-19 Mourinho dalam kerjaya gemilangnya.
Dengan United ketinggalan jauh di belakang pendahulu Liga Perdana, Chelsea, Mourinho sangat memerlukan kejayaan ini bagi memastikan para pemain, penyokong dan hierarki kelab berada di belakangnya.
Tetapi dia berharap kemenangan itu dapat dijadikan sebagai batu loncatan untuk merebut hadiah yang lebih besar di masa akan datang, sama seperti yang terjadi apabila Piala Liga merupakan kejuaraan pertamanya ketika bersama Chelsea.
“Ibrahimovic telah memenangi perlawanan untuk kami kerana dia bermain dengan sangat hebat,” kata Mourinho.
“Pasukan lawan bermain dengan lebih baik berbanding kami hampir keseluruhan permainan dan tidak layak untuk tewas dalam masa 90 minit.
“Ibrahimovic telah membuat perbezaan. Dia telah memberikan kami kejuaraan.”
Dengan ketiadaan pemain perancang, Henrikh Mkhitaryan dan dengan Wayne Rooney sekali lagi berada di bangku simpanan, pentas final itu dijangka memberikan Ibrahimovic peluang untuk mengukuhkan statusnya sebagai pemain utama United dan dia tidak membuang masa dengan mempamerkan persembahan menakjubkan di England.
Mahu membuktikan diri di awal perlawanan, Ibrahimovic memberikan hantaran kepada pemain tengah Perancis Paul Pogba, yang melakukan rembatan kencang ke gawang namun berjaya diselamatkan oleh Forster.
Southampton memberikan respon dengan siri serangan berbahaya yang mungkin menjadi jaringan pembukaan perlawanan di minit ke-11, apabila hantaran rendah Cedric Soares ke dalam petak menemui Gabbiadini yang membuat penyudah menewaskan David de Gea, namun hanya mendapati jaringan itu dibatalkan kerana keputusan ofsaid.
Terselamat daripada keputusan ofsaid itu, United pula membuat serangan dan di minit ke-19 Oriol Romeu melakukan kesilapan besar apabila dia cuba menghentikan serangan dengan melakukan faul ke atas Ander Herrera.
Romeu dilayangkan kad kuning, tetapi hukuman lebih berat tiba kemudian apabila sepakan percuma Ibrahimovic melepasi benteng pertahanan dan menewaskan Forster bagi jaringan pertama perlawanan. – AFP