Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sempena Sambutan Awal Tahun Baharu 1441 Hijrah, kampus-kampus Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Pusat telah mengadakan majlis keagamaan yang berlangsung di Lecture Theatre IBTE Kampus Mekanikal, hari ini.
Pada majlis itu, Pengurus Operasi Kampus Sultan Saiful Rijal, Awang Aminurrashid bin Haji Ibrahim hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis tersebut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang yang antara lain menyentuh mengenai tema sambutan pada tahun ini iaitu ‘Rezeki Halal Mengundang Rahmat, Negara Berkat’.
Beliau menekankan mengenai rezeki yang mana banyak disebutkan dalam kitab suci Al-Quran di mana dan makna rezeki itu berbeza-beza.
“Rezeki mempunyai makna yang luas bukan setakat harta benda, bukan hanya wang ringgit dan bukan hanya material,” tegasnya.
Antara lain objektif majlis adalah untuk memberikan pengetahuan mengenai penghijrahan dan perjuangan-perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah dan syiar Islam.
