Monday, April 28, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    IBTE, BIL jalin kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Dengan hasrat untuk memupuk inovasi, kepakaran teknikal dan pembangunan keusahawanan di Negara Brunei Darussalam, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Makmal Inovasi Brunei (BIL) hari ini telah menjalin kerjasama baharu dengan pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) pada majlis yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan perjanjian itu ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Menandatangani bagi pihak IBTE ialah Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif, IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Hajii Sabli sementara BIL ditandatangani oleh Pengerusi BIL, Haji Mohammad Amirul Shahnoel bin Haji Muhammad Noeh.

    Terdahulu, Dr Haji Mohd Zamri, dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan dalam era Revolusi Perindustrian Keempat, majikan semakin bergelut untuk mencari pekerja dengan kemahiran yang boleh disesuaikan dan fleksibel yang diperlukan di tempat kerja yang dinamik hari ini.

    “Mereka mencari pekerja inovatif, terbuka kepada perubahan dan dilengkapi untuk menangani cabaran dan ke arah itu, BIL sebagai pemacu utama inovasi di Brunei dan fasilitator untuk pembangunan teknologi usahawan, adalah rakan kongsi yang ideal untuk IBTE,” jelasnya.

    Dr Haji Mohd Zamri dan Haji Mohammad Amirul Shahnoel bertukar dokumen sambil disaksikan tetamu kehormat pada majlis penandatanganan antara IBTE dan BIL di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dr Haji Azman semasa menyaksikan pameran pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beliau seterusnya menambah, melalui perkongsian itu ianya dapat memastikan pelajar IBTE memperoleh kemahiran, pemikiran dan pengalaman yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang dipacu Industri 4.0.

    Sementara itu, Haji Mohammad Amirul Shahnoel menekankan kerjasama ini dapat mewujudkan peluang bagi para pelajar untuk memperoleh pengalaman praktikal, berhadapan dengan cabaran industri yang sebenar serta membangunkan penyelesaian inovatif yang dapat menyumbang kepada kepelbagaian ekonomi Brunei.

    “Dengan menyatukan kepakaran teknikal IBTE bersama ekosistem inovatif BIL, kami memastikan bakat belia Brunei bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk hari ini tetapi juga memenuhi permintaan masa depan yang sentiasa berkembang pesat,” katanya.

    “Startup673 REACH yang merupakan hackathon kebangsaan menyasarkan institusi pengajian tinggi ialah satu lagi inisiatif BIL yang direka untuk menggalakkan penyelesaian inovatif dengan menangani cabaran yang dihadapi oleh industri di samping menawarkan platform bagi pelajar untuk menggunakan kemahiran mereka dalam situasi dunia kerja sebenar sambil menggalakkan kerjasama antara akademia dan industri.

    “Bagi menghadapi industri yang sentiasa berkembang pesat disebabkan oleh kemajuan teknologi, para pelajar akan dilengkapi dengan kedua-dua kemahiran vokasional dan minda pemikiran inovatif yang diperlukan untuk menyesuaikan diri, mencipta dan memacu pertumbuhan ekonomi,” tambahnya.

    Majlis penandatanganan diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan lawatan ke kawasan pameran pelajar IBTE serta industri yang terlibat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda