Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN-Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam mengadakan Majlis Sambutan Korban dan Aqiqah bagi Tahun 1446H/2025M bertempat di Teater Kuliah, Bangunan Al-Ataqah, kampus berkenaan, petang tadi.
Majlis itu dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan IBTE, termasuk para jemputan serta penerima agihan daging korban dan aqiqah.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengetua IBTE Pusat, Awang Armi Durani bin Durhman bersama beberapa orang pegawai kanan pengurusan IBTE pusat.
Pada tahun ini, seramai 21 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan IBTE telah mengambil bahagian dalam ibadah korban dan aqiqah, menjadikan majlis ini sebagai platform untuk mempererat hubungan kekeluargaan dan semangat komuniti dalam kalangan warga institusi.
Seterusnya daging-daging korban berkenaan diserahkan kepada seramai 48 orang penerima yang terdiri para pelajar yang memerlukan. Majlis dimulakan dengan laungan takbir Hari Raya Aidiladha secara beramai-ramai, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Haji Muhammad Huzaimi bin Haji Tengah.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Awang Noorisman bin Mentarais yang antara lain menyentuh kepentingan menyemarakkan semangat pengorbanan dan kebersamaan dalam kalangan warga IBTE.
Seterusnya, sesi pengagihan daging ibadah korban dan aqiqah disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada para peserta dan penerima yang layak.
Majlis seumpama ini bukan sahaja memperkukuhkan penghayatan terhadap ibadah korban, malah mengukuhkan lagi budaya keprihatinan dan semangat kebersamaan selaras dengan nilai-nilai Islam yang murni.



