Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 FEB – Sebagai sebahagian daripada acara tahunan untuk memperkenalkan pelajar mengenai program-program dan kursus yang ditawarkan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Satelit, Kampus Jefri Bolkiah (JBC) menganjurkan Hari Terbuka 2021 selama dua hari bermula kelmarin.
Diadakan di Dewan Pembelajaran Akademi Maritim Brunei, IBTE JBC, hari terbuka itu merupakan satu peluang untuk pelbagai jabatan dalam kampus memperkenalkan dan memberikan maklumat relevan dan terkini mengenai program dan kursus yang ditawarkan, serta syarat-syarat dan prospek kerjaya.
Para hadirin yang hadir semasa hari terbuka termasuk orang awam, bekas pelajar sekolah menengah dan sekarang dan guru kerjaya. Selain itu, pelajar yang telah tamat Tahun 11 dengan keputusan yang memenuhi syarat kemasukan program yang ditawarkan turut hadir.
Antara kursus yang ditawarkan untuk kemasukan Julai 2021 termasuk HNTec dalam Building Services Engineering, HNTec dalam Instrumentation & Control Engineering, HNTec dalam Plant Engineering, dan Diploma dalam Refinery Operator (HENGYI) dari Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Satelit.
Manakala Sekolah Informasi dan Teknologi Komunikasi juga menawarkan HNTec dalam Computer Networking dan HNTec dalam Teknologi Maklumat untuk kemasukan Julai 2021.
Di samping itu, petak-petak juga didirikan di kawasan kampus yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dan kakitangan jabatan masing-masing dengan tujuan menyebarkan maklumat mengenai program, kampus dan pendaftaran kursus yang diminati pelajar.
IBTE JBC berharap menerusi hari terbuka ini, mereka boleh mencapai matlamat untuk menambah jumlah kehadiran orang awam dan pelajar prospektif serta sekolah-sekolah yang mengambil bahagian.
