Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Ogos – Lebih 20 orang penuntut dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong, hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Institut Pendidikan Teknikal Brunei Kampus Jefri Bolkiah (IBTE JBC), di sini.
Lawatan rombongan yang diketuai oleh Dayang Norhayati Ummi Juriyah binti Haji Yunos dan Awang Muhd Nurul Hafiz bin Haji Mohd Yussof serta guru-guru sekolah tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para penuntut yang berminat untuk meneruskan pengajian ke IBTE.
Selain itu juga untuk memberikan peluang kepada mereka berinteraksi bersama para tenaga pengajar dan pelajar IBTE mengenai pembelajaran serta syarat kemasukan khususnya program-program yang ditawarkan di semua kampus IBTE terutama sekali program yang berkaitan dengan kejuruteraan.
Kunjungan rombongan telah dialu-alukan oleh Penolong Pendaftar IBTE JBC, Dayang Salenawati binti Haji Saji dan beberapa orang tenaga pengajar lainnya.
Dalam lawatan itu, mereka mendengar ucapan alu-aluan daripada Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek seterusnya taklimat ringkas mengenai IBTE khususnya IBTE JBC yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam IBTE JBC, Dayang Sazrina Mazri.

Acara diakhiri dengan tinjauan ke beberapa makmal dan bengkel iaitu makmal marin dan makmal instrumen serta kejuruteraan kawalan, perkhidmatan bangunan dan makmal komputer ICT.
“Lawatan sambil belajar seperti itu perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberikan peluang dan pendedahan para pelajar khususnya pelajar Tahun 10 dan Tahun 11 dan guru kerjaya mengenai program-program yang ditawarkan di semua IBTE,” Dayang Norjemee memberitahu Media Permata semasa ditemui.
Menurutnya lagi, sebagai sebuah institusi yang menawarkan pelbagai program kemahiran di negara ini, IBTE mengalu-alukan supaya lebih banyak lagi sekolah-sekolah menengah tampil untuk membuat lawatan seperti itu di kesemua kampus IBTE pada masa akan datang.