Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Untuk membuka ruang pekerjaan bagi para pelajar, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Bisnes telah mengadakan Industry Engagement Day 2018 di kampus berkenaan pagi tadi.
Acara berkenaan turut berobjektif untuk mengongsikan program yang ditawarkan serta tahap pensijilan yang terdapat di IBTE Kampus Bisnes kepada syarikat-syarikat yang terlibat.
Ketika ditemui pihak media, Pegawai Pendidikan di IBTE Kampus Bisnes, Dayang Norazean binti Haji Nayan mengatakan bahawa program berkenaan dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara IBTE bersama syarikat-syarikat yang terlibat.
Antara pengisian program berkenaan termasuk penyampaian taklimat oleh Ketua Sekolah IBTE Kampus Bisnes, Pengiran Hajah Norashikkin binti Pengiran Dr. Haji Amir Mohd Yussof mengenai program serta yang berkaitan tentang kampus berkenaan.
Antara syarikat-syarikat yang menghadiri program itu ialah LiveWIRE, DST, TelBru, Hotel Parkview, DARA Shipping, Mindplus Education Sdn. Bhd dan lainnya.
