Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    IBTE meterai MoU laksana program perantisan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) khususnya menerusi pelaksanaan program perantisan, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan-rakan industri yang berlangsung di Dewan VIP, Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini.

    Hadir untuk menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu.

    Dr Haji Azman dan TYT Tran Anh Vu menghadiri majlis berkenaan.

    Pada majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Pendidikan Teknikal / Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa kolaborasi di antara institusi pendidikan dan industri bukan hanya sekadar satu trend tetapi ia merupakan satu keperluan.

    Dr Suhaimi menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    Dalam ekonomi global yang pesat berubah, tambahnya, penyelarasan antara apa yang diajar dalam bilik darjah dan apa yang diperlukan di tempat kerja menjadi semakin penting.

    Oleh itu, beliau berkata bahawa bekerjasama dengan industri membantu IBTE untuk mempersiapkan pelajar-pelajarnya bagi kejayaan kerjaya dengan membuka pintu bagi peluang-peluang berharga dari penempatan kerja dan perantisan kepada mentor dan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.

    Menerusi kerjasama itu, para pelajar memperoleh pengalaman praktikal berharga, pengalaman, keyakinan dan pencerahan dalam laluan kerjaya pilihan mereka serta dapat meningkatkan kebolehpasaran dan mengurangkan kemahiran tidak sepadan.

    Bagi pihak industri khususnya sektor baru muncul dan membangun, kerjasama sedemikian amat penting itu dalam menyediakan akses awal kepada bakat-bakat bermotivasi dan terlatih, mengurangkan kos latihan dan pengambilan serta menggalakkan budaya inovasi dan pemindahan ilmu pengetahuan dalam tenaga kerja.

    Antara rakan-rakan industri yang menghadiri majlis berkenaan.

    Dr Suhaimi seterusnya berkata bagi IBTE, penandatanganan MoU berkenaan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam pembangunan modal insan Brunei sekali gus mengangkat reputasi IBTE sebagai sebuah institusi relevan industri, boleh dipercayai bukan sahaja kepada pengajaran tetapi juga untuk menghasilkan tenaga profesional berkemahiran yang boleh memacu perubahan, pertumbuhan dan kecemerlangan dalam semua sektor.

    Semua di atas: Dr Suhaimi menandatangani MoU bersama rakan-rakan industri dengan disaksikan oleh Dr Haji Azman.

    Melalui kerjasama berkenaan, IBTE berhasrat untuk memperkasa para perantis dengan pengetahuan, kemahiran serta kelayakan yang diperlukan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam.

    Semua di atas: Dr Suhaimi dan Dr Haji Azman bergambar ramai dengan antara rakan industri selepas menandatangani MoU berkenaan.   

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda