Sunday, October 13, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    IBTE rekod kemasukan 1,828 pelajar baharu

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Seramai 1,828 orang pelajar baharu Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) sesi Ogos tahun akademik 2023/2024, hari ini, telah menghadiri Majlis Suai Kenal Pelajar sebagai acara kemuncak Minggu Orientasi yang telah diadakan di kampus-kampus IBTE (Pusat dan Satelit) pada 1 hingga 3 Ogos lalu.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknik IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli.

    Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik), Haji Norjemee bin Jenek selaku pengerusi majlis antara lain mengongsikan bahawa bagi kemasukan Ogos 2023, sebanyak 3,925 permohonan telah diterima namun 47 peratus sahaja yang berjaya diterima masuk ke IBTE.

    Mengulas mengenai majlis suai kenal berkenaan, beliau berkata, ia antara lain bertujuan untuk menyampaikan maklumat penting yang perlu diketahui oleh pelajar baharu seperti peraturan, hal ehwal disiplin serta perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di IBTE.

    Beliau turut melahirkan kepercayaan bahawa aktiviti yang dijalankan semasa minggu orientasi sebelum ini akan dapat membantu pelajar baharu untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baharu.

    Dr Haji Mohd Zamri hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara sebahagian pelajar perempuan yang menyertai Majlis Suai Kenal IBTE di ICC kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara pelajar baharu IBTE bagi pengambilan Ogos 2023. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Haji Norjemee menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Suai Kenal Pelajar IBTE sesi Ogos tahun aka-demik 2023/2024, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Awang Mohammad Safwan ketika ditemu bual oleh media. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Pada majlis itu, beliau menyeru pelajar untuk melakukan yang terbaik bagi menaikkan nama dan imej IBTE selaras dengan slogannya, Inspiring Bruneians Towards Excellence.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pengambilan pelajar baharu Ogos 2023 ini, IBTE telah menawarkan satu program Diploma (BDQF Level 5), 30 program Higher National Technical Certificate (BDQF Level 4), 19 program National Technical Certificate (BDQF Level 3) dan empat program di peringkat Industrial Skill Qualification (ISQ).

    Salah seorang pelajar baharu yang ditemui, Awang Mohammad Safwan bin Sabli melahirkan rasa syukur kerana dapat mengikuti kursus HNTec Kejuruteraan Elektronik di Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal.

    Dengan peluang yang diberikan ini, beliau seterusnya berharap bukan sahaja untuk mendapat keputusan yang cemerlang sepanjang tempoh pengajian tetapi dapat meningkatkan lagi usaha dan ilmu yang ada bagi digunakan di dalam bidang pekerjaan.

    “Sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun itu, selain mengikuti pembelajaran di dalam kampus, kami juga akan mengikuti penempatan kerja selama enam bulan,” jelas beliau lagi yang merupakan salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan mengikuti latihan dalam perkhidmatan.

    Beliau seterusnya berharap, pada masa akan datang jika diberikan peluang akan berusaha meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu dalam bidang yang sama.

    Manakala itu, Dayang Nur Nadiaah binti Abdullah yang mengikuti pengajian dalam Assistant Nurse (General Nursing) di Wasan berkata, salah satu sebab memilih bidang kejururawatan adalah peluang pekerjaannya yang luas, selain mendapat sokongan daripada ahli keluarganya, terutamanya yang bekerja sebagai seorang jururawat.

    Beliau juga berharap untuk berusaha dengan gigih bagi mencapai kejayaan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda