Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Institut Pendidikan Teknikal Brunei, IBTE hari ini mengalu-alukan seramai 1,722 pelajar baharu bagi pengambilan Ogos 2024 di Majlis Perasmian Minggu Orientasi IBTE yang diadakan di Damai Ballroom, Hotel Aman Hills di Jalan Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pendidikan Teknikal, Dr Haji Mohd Zamri Bin Hj Sabli. Turut hadir ialah pegawai kanan, tenaga pengajar dan kakitangan IBTE.
Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Orientasi IBTE 2024, Hjh Norazlina Binti Othman yang juga Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akademik).

Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang objektif minggu orientasi sebagai platform untuk para pelajar memudahkan peralihan kepada kehidupan pelajar di IBTE dan pada masa yang sama menggalakkan pelajar berinteraksi antara satu sama lain dan memupuk semangat kekitaan sebagai sebahagian daripada komuniti IBTE.
Mengikut rekod, IBTE telah menerima 3100 permohonan dan daripada itu, hanya 56 peratus diterima untuk menyertai IBTE. “Syabas kepada anda semua, kerana mendapat tempat di IBTE,” tambah Pengerusi Majlis.


IBTE komited dalam mendidik pelajar menjadi cekap dan bertanggungjawab dari segi sosial. Melalui program IBTE STARs atau Sistem Ganjaran Aktiviti Pelajar, tugasan berasaskan projek, aktiviti pelajar dan pertandingan pelajar dapat mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang berguna pada masa akan datang.
Dalam temu bual media dengan salah seorang pelajar baharu, Dayang Nur Dania Bazilah binti Muhd Rasyid yang mengambil jurusan NTEC Agriculture, Agro Technology beliau berharap satu hari nanti akan dapat mendalami lagi mengenai bidang pertanian. Beliau juga berharap selepas sahaja tamat pengajian nanti, beliau merancang meneruskan HNTeC juga dalam bidang berkenaan. Beliau mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa beliau atas dorongan dan sokongan sehingga berjaya memasuki IBTE.
