Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 14 Julai – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus meriah diraikan di sana-sini dan hari ini, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) juga telah memeriahkannya dengan memilih tema sambutan kembali ke zaman 60-an yang membangkitkan kembali suasana Hari Raya pada zaman tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna IBTE SBC ialah Pengetua IBTE Satelit, Awang Norjemee bin Jenek. Majlis juga dihadiri oleh guru-guru dan warga IBTE SBC.
Pengerusi majlis, Suryati Anyut memberitahu bahawa majlis tersebut diadakan antara lain untuk mengeratkan tali silaturahim dan juga untuk memberikan peluang kepada seluruh warga kampus untuk saling beramah mesra sempena Sambutan Hari Raya.
Majlis bertambah meriah dengan berbagai-bagai persembahan nyanyian dan tarian oleh para penuntut IBTE SBC serta nyanyian sambil berlakon di samping menikmati pelbagai hidangan lauk-pauk serta kuih-muih Hari Raya.

Turut menambah ceriakan lagi suasana majlis, cabutan bertuah turut diadakan yang memberikan peluang kepada hadirin yang bertuah membawa pulang hadiah istimewa yang disediakan oleh penganjur.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada persembahan-persembahan terbaik serta penyampaian anugerah kepada pemenang pakaian terbaik lelaki dan perempuan, Anugerah Dekorasi Terbaik dan sebagainya.
Sebagai kenangan sambutan pada tahun ini, malis telah diakhiri dengan merakamkan gambar ramai.