Tuesday, March 18, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IBTE SBC terima sumbangan peralatan kimpalan

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 28 JULAI – Lapan buah syarikat daripada pelbagai sektor dalam industri minyak dan gas telah berganding bahu untuk menyerahkan berbagai-bagai peralatan kimpalan kepada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Bolkiah (SBC) untuk membantu pelajar mengasah kemahiran mereka sebagai persediaan bagi memasuki tenaga kerja.

    Majlis penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di dewan serba guna dan bengkel kimpalan IBTE SBC, kelmarin, yang dihadiri oleh perwakilan dari lapan syarikat berkenaan, termasuk Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), PTAS Sdn Bhd, Adinin Works and Engineering Sdn Bhd, Zainal Daud Sdn Bhd, SC Company Sdn Bhd, Sahid Sdn Bhd, Serikandi Oilfield Sdn Bhd dan Massutera Engineering Sdn Bhd.

    Hadir mengalu-alukan perwakilan berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli yang disertai oleh Ketua Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Satelit IBTE, Hajah Siti Hazizah binti Haji Masri.

    Hajah Siti Hazizah dalam ucapannya menyampaikan penghargaan kepada syarikat-syarikat berkenaan yang memberikan sokongan dan bantuan kepada kampus tersebut.

    Menurut beliau, peralatan berkenaan akan dapat menyokong dan membangunkan lagi pelajar-pelajar program iSkills NTec dalam Kimpalan (Industri Minyak dan Gas) IBTE.

    Peralatan betul seperti yang disumbangkan itu, jelas beliau lagi, adalah perlu untuk menyediakan pelajar program tersebut dengan latihan yang diperlukan bagi memenuhi standard yang dijangkakan dalam industri minyak dan gas.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan daripada institut berkenaan kepada perwakilan dari lapan buah syarikat berkenaan yang menyampaikan peralatan kepada kampus tersebut.

    Perwakilan berkenaan dan tetamu jemputan juga meninjau premis bengkel kimpalan, bukan sahaja untuk melihat peralatan berkenaan digunakan sebagai sebahagian daripada kursus malah bertemu pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus tersebut.

    Dr Haji Mohd Zamri menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil salah sebuah syarikat yang memberikan sokongan kepada sumbangan peralatan kimpalan berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda