SANARY-SUR-MER, 7 DIS – Petugas penyelamat Perancis berjaya mengeluarkan seorang ibu dan anak damitnya daripada runtuhan sebuah bangunan kediaman yang musnah, dipercayai akibat letupan gas, semalam.
Pada masa sama, pasukan itu turut bertungkus-lumus menyelamatkan seorang lelaki yang tidak sedarkan diri, manakala dua lagi masih hilang.
Wanita berkenaan dan anaknya ditemui masih hidup dan diselamatkan pasukan bomba, dalam kejadian letupan di bandar pesisir Mediterranean, Sanary-sur-Mer, yang boleh didengari dari sejauh lapan kilometer.
“Daripada lima yang dicari dalam runtuhan itu, tiga ditemui iaitu seorang wanita dan seorang anak damit yang diselamatkan dalam keadaan sedar, selain seorang lelaki tidak sedarkan diri yang sedang dikeluarkan.
“Masa selama dua jam diambil untuk mengeluarkan anak damit berkenaan. Dia kini dijaga oleh petugas penyelamat dan dalam keadaan baik,” kata pegawai bomba dari jabatan bomba wilayah, Kolonel Eric Grohin kepada wartawan.
“Pasukan kecemasan di tempat kejadian mengesan bau gas yang kuat,” kata pihak berkuasa wilayah itu dalam satu kenyataan. Dua bangunan bersebelahan turut rosak teruk dalam insiden letupan itu, yang berlaku di pelabuhan di Sanary, sebuah bandar yang mempunyai kira-kira 15,000 penduduk di tenggara Marseille. – AFP
