AMMAN, 5 MEI – Pasukan penyelamat Jordan telah menemui mayat seorang pelancong Belgium dan anak lelakinya yang hilang semasa banjir di selatan kerajaan itu, kata pihak berkuasa hari ini.
“Dua lagi anaknya ditemui dalam keadaan hidup dan sihat,” kata Direktorat Keselamatan Am dalam satu kenyataan.
“Mayat yang ditemui selepas beberapa jam pencarian dalam keadaan permukaan tanah dan cuaca yang sukar telah dipindahkan,” kata kenyataan itu, tanpa memberikan butiran lanjut.
Wanita Belgium itu dan tiga anaknya adalah sebahagian daripada kumpulan pelancong – termasuk 14 warga Czech – dalam perjalanan lawatan tanpa bimbingan kelmarin, menurut gabenor Maan Hassan al-Jabur, seperti yang dilaporkan oleh saluran televisyen rasmi Al-Mamlaka.
Pihak berkuasa memindahkan sebahagian besar kumpulan itu, tetapi keluarga berkenaan hilang, katanya, sambil menambah pasukan penyelamat kemudian menemui dua kanak-kanak itu dalam keadaan sihat.
Pihak berkuasa Jordan kelmarin memindahkan hampir 1,800 pelancong daripada banjir di Petra, tapak Warisan Dunia yang disenaraikan UNESCO.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas banjir melanda tapak bersejarah itu, menurut seorang pegawai. – AFP
