Friday, April 18, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu angkat ditahan, tukar anak dengan monyet

    TEXAS, 10 APRIL – Seorang wanita di Missouri didakwa mendera dan membahayakan kanak-kanak kerana selepas disiasat dipercayai wanita tersebut telah menukar anak angkatnya dengan seekor monyet di Texas serta terlibat dalam kes penderaan terhadap beberapa anak-anak jagaannya yang lain.

    Wanita berusia 70 tahun asal Winfield itu, kini ditahan dengan ikat jamin sebanyak AS$250,000 sejak penangkapannya hujung minggu lalu dan dijadualkan hadir ke mahkamah pada Selasa depan.

    The Associated Press tidak mendedahkan identitinya bagi melindungi kanak-kanak terbabit.

    Rekod mahkamah atas talian tidak menyenaraikan sebarang peguam yang mewakili wanita itu. Winfield sebuah bandar kecil, kira-kira 72 kilometer dari pusat bandar St. Louis, dengan populasi sekitar 1,500 orang.

    Pendakwa Daerah Lincoln, Mike Wood, memaklumkan wanita berkenaan pernah menjaga hampir 200 kanak-kanak sebagai ibu angkat atau penjaga selama lebih sedekad. Dalam permohonan ikat jamin tunai, pejabat beliau menyatakan pihak berkuasa menerima maklumat beberapa kanak-kanak turut mengalami penderaan fizikal dan emosi seperti remaja yang menjadi tumpuan siasatan kes ini.

    Menurut kenyataan sebab munasabah oleh seorang detektif dari Pejabat Sheriff Lincoln County, gadis itu telah memberitahu pihak berkuasa dia telah dipukul dengan kepingan kayu, kasut dan pemukul. Gadis itu juga turut berkata dia telah cuba memberitahu orang lain mengenai apa yang berlaku, tetapi tiada siapa yang mempercayainya.

    Gambar Freepik

    Tambahnya lagi, pada Februari, seorang timbalan sheriff yang bertugas sebagai pegawai sumber sekolah di Missouri dimaklumkan tentang gadis tersebut yang sering tidak hadir ke sekolah.

    Ketika siasatan dijalankan, timbalan itu dimaklumkan tentang khabar angin tentang gadis itu yang telah ditukar dengan haiwan eksotik kepada seseorang di Texas.

    Timbalan itu kemudian meminta pihak berkuasa di Texas untuk memeriksa keadaan gadis tersebut. Pihak kebajikan kanak-kanak di Texas telah menempatkan gadis itu di bawah jagaan perlindungan dan Wood menyatakan dia kini berada dalam keadaan baik di sebuah rumah perlindungan di sana.

    Baylee Watts, jurucakap Jabatan Perkhidmatan Sosial Missouri, tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kes tersebut.

    Beliau turut menyatakan “maklumat berkaitan siasatan penderaan dan pengabaian kanak-kanak adalah tertutup dan sulit di bawah undang-undang Missouri, kecuali dalam keadaan yang sangat terhad.” – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda