Sudah lama bersabar menghadapi komen-komen negatif daripada ‘haters’ di laman sosial, akhirnya keluarga penyanyi Ayu Ting Ting memilih untuk bersikap tegas.
Memetik laporan Liputan6, ibu bapa kepada Ayu iaitu Umi Kalsum dan Abdul Rozak mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap seorang warganet yang telah mencemarkan nama baik anak mereka.
“Kami sudah membuat lapoan polis. Terima kasih kepada semua yang telah membantu ibu sekeluarga mencari pelaku yang telah mencemarkan nama Ayu sekeluarga,” kata Umi menerusi Instagram.
Keluarga Ayu Ting Ting juga sudah mengenal pasti dan mereka bersama pihak polis pergi ke kediaman individu tersebut yang terletak di Bojonegoro, Jawa Timur.
Bagaimanapun, individu tersebut difahamkan kini berada di Singapura dan memohon bantuan polis di sana untuk menghantar pulang pelaku itu ke Indonesia untuk bertanggungjawab ke atas tindakannya.
Sebelum ini, seorang warganet meninggalkan komen negatif sehingga mencemarkan nama Ayu serta anak perempuannya di Instagram. – Agensi