Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Ibu bapa bertanggungjawab mencorak dan mendidikan anak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Tugas mendidik anak-anak bukanlah satu tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan, kerana didikan ibu bapa atau penjaga pada peringkat awal, adalah penentu ke arah mana corak dan masa depan, lebih-lebih lagi di zaman yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.

    Khatib menegaskan perkara itu semasa menyampaikan Khutbah Jumaat, hari ini, bertajuk ‘Anak adalah Amanah Allah S.W.T.’.

    Katanya lagi, “anak merupakan kurnia dan anugerah yang diamanahkan oleh Allah untuk dijaga dengan baik dan penuh kasih sayang, dan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab menjaga Amanah Allah dengan sebaik-baiknya”.

    Khatib seterusnya menjelaskan, antara tanggungjawab yang wajib dipikul oleh kedua ibu bapa atau penjaga adalah mendidik anak-anak dengan didikan yang baik dan sempurna.

    “Jika hasil didikan menjadikan anak itu seorang anak yang soleh, ibu bapa juga turut mendapat pahala dan sebaliknya jika didikan yang diberikan tidak sempurna, ibu bapa yang akan menanggung sama akibatnya di hadapan Allah”.

    Allah S.W.T. menjadikan setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah semulajadi untuk menerima sebarang perubahan sama ada kebaikan atau keburukan.

    Agama Islam menganjurkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak menerima dan mendapat pendidikan yang sempurna terutama pendidikan agama agar mereka menjadi insan yang berpekerti baik dan berakhlak mulia.

    Ia kerana jika jiwa anak-anak itu telah dididik dan disemai dengan ajaran agama Islam yang kuat, insyaAllah akan menjadi orang yang beriman, cinta pada Allah dan rasulnya, menjadi anak yang soleh, berbakti kepada agama, ibu bapa, masyarakat dan juga negara.

    Kanak-kanak pada zaman sekarang agak membimbangkan, tegas Khatib, kerana mudah terpengaruh dengan isu-isu sosial yang agak sukar dikawal oleh ibu bapa seperti buli, penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, tidak bersekolah dan bermacam-macam lagi.

    Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga diingatkan agar tidak boleh mengambil ringan, cuai dan lalai dalam menunaikan hak dan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak.

    Ini kerana jika mereka lalai dan kurang memberi perhatian kepada kelakuan anak-anak, dikhuatiri anak-anak akan terjebak dengan gejala negatif atau kegiatan kurang bermoral yang menyalahi agama Islam yang suci, bahkan juga melanggar adat dan tata susila dan juga melanggar undang-undang negara.

    Pendidikan yang sempurna dan seimbang antara duniawi dan akhirat amat mustahak diberikan kepada anak-anak kerana tanpa adanya ilmu pengetahuan tidak dapat membezakan antara yang hal dan batil.

    Selain itu, sebagai ibu bapa atau penjaga, mereka hendaklah sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap anak-anak sama ada dari segi emosi, mental mahupun fizikal.

    Ibu bapa yang bertanggungjawab mencorak dan mendidikan mereka dengan didikan yang baik dan sempurna.

    Ikutlah tatacara mendidik anak mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. dalam hal makan dan minum, tidur, memelihara keluarga dari dijangkiti penyakit dan menghalang mereka dari perkara-perkara maksiat termasuk pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak di zaman ini.

    Walau bagaimanapun, peranan tersebut tidak cukup untuk digalas oleh ibu bapa sahaja, bahkan memerlukan peranan Masyarakat secara menyeluruh tidak kira bangsa dalam sama-sama mengalas tanggungjawab terhadap anak-anak.

    Dalam hal tersebut, jelas Khatib, Negara Brunei Darussalam telah menjadi ahli kepada Konvensyen Hal Kanak-Kanak yang menghuraikan hal kanak-kanak untuk kesejahteraan kehidupan termasuk hak untuk kehidupan, hak untuk perlindungan, hak untuk perkembangan dan hak untuk penglibatan dalam perkara yang berkepentingan bagi mereka.

    Dengan mencapai hak kanak-kanak tersebut, diharap akan dapat memberikan masa depan yang cerah bagi mereka, demi memastikan kanak-kanak di negara ini berupaya untuk menjalani kehidupan yang lebih selamat dan berkualiti, ia penting untuk mengembangkan lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak.

    Perlindungan kanak-kanak bermula daripada keluarga, diikuti oleh masyarakat, institusi dan secara menyeluruh tidak kira bangsa yang sejajar dengan komitmen antarabangsa.

    Di samping itu, tegas Khatib, janganlah lupa akan saudara yang berada di Gaza, Palestin, di mana kesejahteraan kanak-kanak di sana juga sangat terancam.

    “Ekoran pertempuran yang berlarutan sejak 7 Oktober 2023 yang lalu, mangsa-mangsa serangan Israel dan jumlah korban serta kecederaan meningkat di kalangan rakyat Palestin,” tegasnya.

    Katanya lagi, “Tindakan Israel mengebom secara keterlaluan terhadap kawasan awam, menyekat asas bekalan air, elektrik dan makanan, mangsa-mangsa sangat memerlukan bantuan”.

    Ke arah itu, Negara Brunei telah menubuhkan tabung kemanusiaan rakyat Palestin di Gaza 2023 pada 18 Oktober 2023 yang lalu bertujuan untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa penduduk Palestin di Gaza.

    Sehubungan itu, Khatib menyeru untuk sama-sama menghulung derma ke tabung Palestin di Gaza 2023 melalui tabung yang disediakan di masjid, surau dan balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam di seluruh negara.

    Selain itu, turut disediakan perkhidmatan BIBD Online, SMS Brunei Prihatin atau menghantar terus ke Urusetia Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 di bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat Dua, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada waktu pejabat.

    “Dengan segala niat dan sumbangan yang dihulurkan akan mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah,” tambahnya.

    – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...