Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu bapa buat laporan polis terhadap tadika

    IPOH, 23 APRIL – Seorang ibu mendakwa sebuah tadika swasta di sini cuai dan gagal memantau anak lelakinya yang berusia 4 tahun sehingga terjatuh ke dalam kolam renang bersebelahan premis berkenaan sehingga menyebabkan kematian anak tunggalnya itu, hari ini.

    D Nilaveni, 40, yang juga seorang peniaga berkata pihak taska juga sehingga hari ini gagal menjelaskan sebab sebenar anaknya V Thanes Nair ditemukan tidak sedarkan di dalam kolam renang dewasa pada 17 April lepas.

    “Hanya setelah anak saya berada di Klinik Kesihatan Chemor baru saya dihubungi dan diberitahu anak saya terjatuh, tetapi pada mulanya tidak diberitahu anak saya sebenarnya jatuh di dalam kolam renang,” katanya kepada media ketika ditemui hari ini dan turut mendakwa tidak mengetahui bersebelahan premis itu ada kolam renang.

    Menceritakan kejadian yang juga di hari pertama anaknya mengikuti kelas percubaan di tadika itu, Nilaveni berkata anaknya kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) namun didakwa telah berada dalam kedaaan kritikal.

    Anaknya meninggal dunia pada 10.30 pagi tadi setelah enam hari bertarung nyawa di HRPB.

    “Saya berasa sangat kecewa kerana anak saya tidak dihantar dengan ambulans dengan kadar segera untuk mendapat rawatan dan pihak taska gagal memantau dan menjaga anak saya yang hanya berusia 4 tahun ketika berada dalam premis itu, bagaimana anak saya yang sepatutnya dipantau boleh pergi ke kawasan kolam renang itu,” dakwanya.

    Thanes Nair merupakan anak tunggal Nilaveni hasil perkahwinannya dengan V Vijay, 43, selepas enam tahun berkongsi hidup. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda