Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 7 Feb – Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien (SOAS) telah menunjukkan banyak kemajuan dari segi akademik dan dengan mengadakan Majlis Konvokesyen itu ianya diharap akan dapat memberikan semangat kepada guru-guru dan murid-murid yang akan menduduki peperiksaan pada tahun hadapan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Guru Besar Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait, Hajah Nor Zurina binti Haji Assim, semasa ditemu bual Media Permata dalam Majlis Konvokesyen Tahun 6 bagi tahun 2016 di Dewan Persidangan sekolah tersebut, hari ini.
Katanya lagi, keputusan peperiksaan yang cemerlang adalah satu tangga kejayaan dan dalam masa yang sama ia juga mengajar pelajar-pelajar serta guru untuk lebih meningkatkan usaha demi mencapai kemajuan yang cemerlang.
“Nilai-nilai murni yang dapat diambil daripada peperiksaan tersebut adalah kerjasama yang perlu ditekankan, sentiasa memotivasikan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, keputusan peperiksaan setahun sekali, tetapi melaluinya akan membuat murid-murid lebih matang, lebih menghargai apa yang diajarkan oleh guru-guru mereka, begitu juga dengan guru-guru akan lebih memahami keperluan murid-murid dan dengan adanya hubungan seperti itu keputusan akademik akan dapat dicapai dengan jayanya.
“Saya percaya apapun strategi yang diambil untuk menaikkan keputusan akademik, jika sekiranya hubungan antara guru-guru, ibu bapa dan murid terdapat kepincangan, agak sukar untuk mencapai apa yang disasarkan untuk sekolah,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan, untuk mengukuhkan hubungan saling percaya, memahami dan tidak berputus asa itu, kerjasama daripada ibu bapa masih banyak yang perlu diperbaiki, kerana masih ada yang belum memahami piawaian sekolah, sambil berkata “sebagai guru besar saya perlu menetapkan beberapa piawaian yang perlu untuk dicapai, dan kadang-kadang piawaian tersebut tidak menepati cita rasa ibu bapa, bagaimanapun sebagai guru besar, keutamaan saya adalah kecemerlangan murid-murid yang belajar di sekolah kami.”
Majlis hari ini telah menyaksikan acara penyampaian hadiah dan sijil kepada seramai 41 orang murid, antaranya tujuh orang mendapat keputusan 5 ‘A’, tujuh orang lagi mendapatkan 4 ’A’ dan selebihnya mendapatkan keputusan ‘A’ hingga ‘C’, dan hadiah turut diberikan kepada murid yang mempunyai peningkatan yang sangat tinggi mengikut subjek.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil pada majlis tersebut ialah Ketua Kluster 6, Dayang Asmah binti Awang Tengah.
Bagi menceriakan lagi suasana majlis, beberapa persembahan murid-murid sekolah turut diadakan antaranya seperti Choral Speaking oleh murid Tahun 5, Persembahan Mukun daripada murid-murid Tahun 2 dan Tahun 5 yang kemudiannya disusuli dengan acara memotong kek oleh tetamu kehormat dan sesi bergambar ramai sebagai kenangan.