TOKYO, 9 MEI – Seorang lelaki bersenjatakan pisau yang ditangkap di Tokyo minggu ini mendakwa tindakannya bertujuan memberi amaran kepada ibu bapa di seluruh Jepun bahawa ‘kasih sayang berlebihan’ boleh merosakkan anak-anak mereka, lapor media tempatan, hari ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu telah didakwa atas cubaan membunuh selepas disyaki menyerang seorang lelaki berusia 20an pada Rabu lalu di Stesen Todai-mae, berhampiran Universiti Tokyo – institusi pengajian tinggi paling berprestij di Jepun.
“Suspek, dengan niat untuk membunuh, telah menetak kepala dan beberapa bahagian badan mangsa menggunakan objek seperti pisau yang dibawanya, sehingga menyebabkan kecederaan,” kata jurucakap polis kepada AFP sebelum ini.
Semasa disoal siasat, suspek bercakap mengenai ibu bapanya yang sangat mendesak dan terlalu mementingkan pencapaian akademiknya, menurut laporan media tempatan.
Disebabkan tekanan itu, katanya, “Saya berhenti bersekolah dan mengalami kesukaran semasa remaja,” lapor penyiar awam NHK dan media lain yang memetik kenyataan kepada penyiasat.

“Saya mahu tunjuk kepada semua ibu bapa yang cuba memasukkan anak mereka ke Todai bahawa jika mereka terlalu menekan, anak-anak boleh jadi tidak terkawal dan akhirnya menjadi penjenayah seperti saya,” ujarnya, merujuk kepada nama gelaran umum bagi Universiti Tokyo.
Beliau memilih Stesen Todai-mae sebagai lokasi serangan kerana percaya universiti itu melambangkan ‘penderaan pendidikan’ oleh ibu bapa yang terlalu kompetitif, menurut laporan tersebut.
Bagaimanapun, suspek dan mangsa tidak saling mengenali. Suspek mengaku memilih mangsa kerana dia kebetulan berada berdekatan, menurut NHK.
Jenayah ganas jarang berlaku di Jepun, yang mempunyai kadar pembunuhan rendah dan undang-undang senjata api antara paling ketat di dunia.
Namun, insiden tikaman dan tembakan berlaku sekali-sekala – termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe pada 2022.
Sehari selepas insiden tikaman itu, lima kakitangan cedera ringan di sebuah sekolah rendah di Tokyo apabila dua lelaki menceroboh kawasan sekolah.
Pada tahun 2021, seorang lelaki berusia 24 tahun menikam penumpang dan membakar sebuah tren di Tokyo semasa sambutan Halloween, sambil memakai kostum menyerupai watak penjahat Joker dari buku komik.
Hari ini, seorang lelaki berusia 34 tahun pula dilaporkan ditahan atas dakwaan cubaan membunuh selepas disyaki menetak seorang lelaki dengan pisau di bandar Osaka, menyebabkan kecederaan ringan. – AFP