Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu bapa pembentuk keperibadian anak-anak

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Ibu bapa merupakan pendidik pertama dan utama dalam mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak.

    Ibu bapa hendaklah memberikan tumpuan dan mempertingkatkan hubungan kasih sayang dengan anak-anak di samping anak-anak juga perlu dikelilingi oleh role model yang positif.

    Oleh sebab itu, anak-anak perlu diberi asas ilmu dan agama yang cukup agar mereka ada bimbingan untuk membawa anak-anak ke arah kebaikan dan menghindari mereka daripada perkara-perkara yang buruk seperti penyalahgunaan dadah.

    Peringatan tersebut adalah antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Penceramah Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Dayang Syafiqah binti Haji Ayop semasa program Malam Munajat Khas untuk Wanita anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-117 dengan dukungan khas Jemaah Wanita Persatuan BASMIDA bertempat di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong dan secara maya, kelmarin.

    Program Malam Munajat Khas untuk Wanita disertai oleh isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, dan isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Hajah Norazimah binti Haji Ramlee.

    Datin Hajah Nahriah semasa menyertai Malam Munajat Khas untuk Wanita yang diadakan secara maya, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Terdahulu, bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Presiden Persatuan BASMIDA Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

    Manakala, bacaan Sayyidul Istighfar dipimpin oleh ahli Persatuan BASMIDA, Hajah Asmah binti Haji Paidi, sementara bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh ahli Persatuan BASMIDA, Hajah Nurbayu binti Haji Mohd Salleh dan bacaan Doa Munajat pula dibacakan oleh ahli Persatuan BASMIDA, Dayang Nur Aizat Yatimi binti Haji Shari.

    Sejurus selesai tazkirah, bacaan Asmaul Husna dipimpin oleh Dayang Azniseryanie binti Haji Isa bersama ahli-ahli persatuan BASMIDA juga dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.

    Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Penolong Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Dayang Saadatul Sakinah binti Haji Masri.

    Malam Munajat turut disertai oleh Muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara secara maya, warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan serta institusi-institusi di bawahnya.

    Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya.

    Orang ramai dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheuwanita atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda