LONDON, 1 Ogos – Laluan Alisson untuk menjadi penjaga gol termahal dunia mungkin tidak akan berlaku jika ibu bapanya tidak memujuknya untuk mengurangkan berat badan dan matang secukupnya untuk berjaya, bekas jurulatihnya memberitahu The Sun semalam.
Pemain nombor satu dari Brazil itu, 25, yang menandatangani bersama Liverpool bagi rekod perpindahan AS$88 juta dari kelab Itali, AS Roma bulan ini, terlalu menyukai biskut dan minuman bergas dan ibu bapanya memutuskan bahawa dia perlu berhenti bermain bola sepak dan kembali belajar.
“Satu hari ibu bapanya datang menemui saya, memikirkan bahawa dia tidak mempunyai masa depan dalam kerjaya dan mereka mahu agar dia tidak lagi bermain bola sepak,” mentornya, Daniel Pavan memberitahu The Sun.
“Mereka mempertimbangkan bahawa masa depannya lebih cerah jika belajar dan seharusnya meninggalkan kelab itu.
“Tetapi saya dapat meyakinkan mereka bahawa Alisson masih belum matang berdasarkan usianya dan mempunyai masa depan sebagai penjaga gol.”

Pavan memberitahu ibu bapanya, mereka tidak seharusnya bimbang mengenai ketinggiannya pada ketika itu kerana dia pasti akan membesar dan akan menonjol dalam kawasan penalti, dia sekarang memiliki ketinggian 6 kaki 4inci (1.93meter).
“Apabila Alisson bermula, dia membesar perlahan berbanding budak yang lain, ini menjadikannya penjaga gol yang pendek dan dengan berat badan berlebihan daripada budak lain,” kata Pavan.
“Ini menjadikannya terlepas daripada kedudukan dalam barisan utama dan kadangkala di bangku simpanan.
“Secara genetik, dia lebih perlahan berbanding budak lain yang seusianya dengan gerak teknikal yang berbeza, kami melihat pertumbuhannya dari masa pertama.
“Dan syukur mereka mendengar kata saya. Setahun kemudian dia membesar 6.5 inci (16.51 sentimeter).”
Alisson adalah seorang pemain bola sepak yang jarang ditemui dari latar belakang kelas pertengahan, ibunya seorang broker hartanah dan ayahnya adalah peniaga kulit dan kasut. – AFP