ROM, 15 MAC – Seorang wanita dan tiga anaknya yang masih kecil maut dalam kebakaran yang memusnahkan pangsapuri mereka di bandar Bologna di utara Itali semalaman, kata pegawai hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Matteo Piantedosi berkata dia ‘sangat sedih’ dengan kematian wanita dan anak-anaknya, yang dilaporkan kembar berusia dua tahun, seorang perempuan dan seorang lelaki, dan seorang anak perempuan berusia enam tahun.
Anggota bomba dikejarkan sekitar pukul 1 pagi ke flat tingkat empat itu, selepas jiran yang tinggal di atas mereka menghubungi pasukan kecemasan, kata laporan media.
Pihak pegawai tiba dan mendapati rumah tersebut dipenuhi asap, dengan anak-anak kembar dan saudara perempuan mereka sudah meninggal.
Ibu mereka, Stefania Alexandra Nistor, 32, berasal dari Romania, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Polis percaya kebakaran itu adalah satu kemalangan, berpunca daripada kerosakan elektrik pada pemanas, lapor akhbar, Corriere della Sera.
Datuk Bandar Bologna, Matteo Lepore, memberitahu wartawan, ia adalah ‘tragedi yang dahsyat bagi masyarakat setempat, sesuatu yang sukar dipercayai’. – AFP










