Ibu kepada penyanyi Beyonce iaitu Tina Knowles mencuri perhatian ramai selepas didakwa memberi tanda ‘suka’ terhadap sebuah hantaran Instagram mengenai kes rogol melibatkan menantunya, Jay-Z.
Mirror melaporkan peminat mula menyedari Tina ‘menyukai’ hantaran tersebut selepas khabar angin berkenaan dakwaan rogol yang dilakukan oleh Jay-Z tular di media sosial.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, Tina berkongsi kenyataan memberitahu bahawa akaun Instagram miliknya telah digodam.
Tegas Tina, dia tidak mungkin mempermainkan isu melibatkan keluarga dan menafikan dakwaan yang dibuat warganet.
“Akaun Instagram saya digodam! Seperti yang anda semua tahu, saya tidak akan mempermainkan keluarga saya.
“Jika anda melihat sesuatu perkara yang ‘berbeza’, ketahuilah bahawa itu bukan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Tina turut memberi amaran kepada warganet untuk tidak mempermainkan dirinya dan menyifatkan tiada apa yang boleh menjatuhkan keluarga mereka.
“Tolong berhenti mempermainkan saya. Tidak ada ‘senjata’ yang mahu menentang keluarga saya akan berjaya,” ujarnya.
Sebelum ini, Jay-Z atau Shawn Carter didakwa merogol remaja berkenaan yang ketika itu berusia 13 tahun ketika menghadiri acara ‘after party’ MTV Music Video Awards (VMA) pada tahun 2000.
Remaja berkenaan yang kini berusia 37 tahun dikenali sebagai Jane Doe mendakwa perbuatan terkutuk itu turut dilakukan bersama P. Diddy.
Jay-Z bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut malah menyifatkan tuduhan tersebut dibuat bagi memburukkan reputasinya. – Agensi