Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu bina sel penjara di rumah untuk anaknya

    BURIRAM, 12 NOV – Seorang wanita tua dari Thailand yang terdesak untuk menjauhkan anaknya daripada godaan ketagih dadah dan judi telah membina sel penjara besi di dalam rumahnya.

    Memetik laporan Oddity Central, selepas lebih 20 tahun hidup dalam ketakutan berterusan akibat anaknya yang ketagih dadah, seorang wanita berusia 64 tahun dari wilayah Buriram, Thailand, mengambil langkah luar biasa untuk melindungi diri dan jirannya.

    Dia baru-baru ini mengupah kontraktor untuk membina sel penjara di dalam rumahnya, tempat dia boleh mengurung anak lelakinya yang berusia 42 tahun apabila dia bertindak ganas.

    Wanita itu memberitahu polis bahawa dia telah mencuba segala usaha untuk menyelamatkan anaknya selama ini, termasuk beberapa percubaan pemulihan di lebih 10 pusat pemulihan di seluruh negara, tetapi tidak ada yang berhasil dan anaknya semakin bertindak ganas dari hari ke hari.

    Pada suatu ketika, anaknya juga menjadi ketagih perjudian, yang hanya memburukkan lagi keadaan.

    “Selama 20 tahun, saya hidup dalam ketakutan berterusan,” kata ibu dari Buriram itu kepada pemberita.

    “Saya tinggal berdua sahaja dengan anak saya sejak suami saya meninggal dunia. Salah satu punca kematian suami saya adalah tekanan dan stres yang disebabkan oleh ketagihan dadah anak saya. Saya pasang jeriji besi di rumah kerana saya bimbang tentang keselamatan saya dan jiran-jiran saya,” tambahnya.

    Pada 23 Oktober, wanita itu terpaksa menghubungi polis kerana dia tidak dapat mengawal anaknya. Anak itu dimasukkan ke hospital, tetapi dia tahu anaknya akan kembali, jadi dia memutuskan untuk memasang sel penjara. – Agensi

    Sel penjara besi yang dipasang oleh wanita tersebut untuk mengurung anaknya yang ketagih dadah dan judi. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda