CORNELIUS, 9 APRIL – Seorang wanita dan tiga orang anaknya yang masih kecil telah ditemui mati pada petang kelmarin, di sebuah kediaman di barat laut Oregon, kata pihak berkuasa.
Mayat wanita berusia 37 tahun dan tiga anaknya yang berusia 2, 5 dan 7 tahun telah ditemui di Cornelius, kira-kira 40 kilometer dari barat Portland, selepas seseorang menghubungi talian kecemasan 911 untuk melapor penemuan tersebut, menurut Pejabat Syerif Daerah Washington.
Jurucakap pejabat syerif, Penolong David Huey memberitahu KATU-TV bahawa mayat mereka telah ditemui dalam sebuah bangunan yang bersambung dengan rumah tersebut.
Katanya, “Ia adalah tragedi menyayat hati yang menimpa komuniti kecil antara Cornelius dan North Plains, dan kesannya amat dirasai oleh penduduk setempat.” Maklumat lanjut mengenai mangsa atau punca kematian masih belum didedahkan. – AP
