ISTANBUL, 16 NOV – Sebuah hotel di Istanbul yang menempatkan sebuah keluarga pelancong Turkiye-Jerman yang dipercayai mengalami keracunan sehingga mengakibatkan kematian ibu dan dua anak mereka telah dikosongkan kelmarin, menurut laporan media tempatan.
Semua tetamu yang menginap di hotel yang tidak dinamakan itu di kawasan Fatih berhampiran semenanjung bersejarah Istanbul telah dipindahkan ke hotel lain, menurut akhbar BirGun, tanpa menyatakan bilangan individu yang terlibat.
Dua pelancong lain yang menginap di hotel sama dibawa ke hospital kelmarin selepas mengalami loya dan muntah, menurut laporan itu, tanpa memberikan butiran lanjut.
Keluarga berkenaan jatuh sakit pada Rabu selepas menikmati beberapa hidangan makanan jalanan popular di kawasan tepi air Ortakoy, di kaki jambatan yang merentangi Bosphorus.
Mereka dibawa ke hospital, namun dua anak mereka yang berumur enam dan tiga tahun meninggal dunia pada Khamis manakala ibu mereka sehari kemudian, kata menteri keadilan.
Bapa keluarga itu kekal dalam keadaan kritikal, menurut ketua kesihatan wilayah Istanbul, Abdullah Emre Guner, lewat Jumaat di X.
Laporan media yang berbeza meneliti pelbagai jenis makanan yang dipercayai dimakan oleh keluarga itu. Namun, siasatan juga mendapati bahawa sebuah bilik di tingkat bawah hotel tersebut baru-baru ini telah disembur dengan racun perosak, lapor laman berita Hurriyet, kelmarin. – AFP

