Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu dan dua anak maut disyaki keracunan makanan jalanan

    ISTANBUL, 14 NOV – Dua kanak-kanak dan ibu mereka meninggal dunia manakala bapa mereka kini bertarung nyawa selepas dipercayai mengalami keracunan makanan jalanan di sebuah lokasi pelancongan popular di Istanbul, menurut pegawai Turkiye dan laporan media hari ini.

    Keluarga berkenaan dilaporkan jatuh sakit pada Rabu selepas menikmati beberapa hidangan makanan jalanan di sebuah restoran di kawasan Ortakoy, sebuah lokasi tumpuan pelancong di tepi Selat Bosphorus.

    Mereka yang menginap di daerah Fatih dilaporkan menunjukkan simptom tidak lama kemudian sebelum dikejarkan ke hospital.

    Dua anak mereka masing-masing berusia enam dan tiga tahun meninggal dunia, menurut Ketua Kesihatan Wilayah Istanbul, Abdullah Emre Guner menerusi X, kelmarin.

    Ibu dan bapa mereka dirawat di unit rawatan rapi dan siasatan segera dilancarkan, katanya.

    Bagaimanapun, Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc memaklumkan hari ini bahawa si ibu juga meninggal dunia tidak lama kemudian.

    “Sampel diambil dari semua lokasi yang diketahui tempat keluarga itu makan dan empat individu telah ditahan,” katanya menerusi X.

    Media tempatan melaporkan keluarga berkenaan dipercayai memakan kupang dengan nasi, snek popular yang lazim dijual penjaja jalanan, selain ‘kumpir’ iaitu kentang bakar dengan pelbagai inti.

    Laporan lain pula menyebut mereka mungkin menikmati ‘kokorec’, hidangan popular berasaskan usus kambing panggang, serta manisan Turkish Delight.

    Keluarga itu dipercayai warga Turkiye yang menetap di Jerman dan pulang bercuti ke Istanbul. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda