Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Seorang ibu yang mendera anak damit perempuannya telah dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada hari Sabtu lepas dan diperintahkan untuk membayar denda sebanyak $1,500 kerana mengambil dadah terkawal kelas A, methylamphetamine.
Hakim Mahkamah Perantaraan Hazarena binti POKSJDP Haji Abu Hurairah mengatakan kes Ampuan Roslinah binti Ampuan Abdul Rahman, 37, adalah kes yang memilukan di mana anak damit yang tidak dapat melindungi dirinya sendiri dan didera oleh ibu bapa adalah lebih sukar untuk dikesan.
Sementara itu, suami tertuduh, Mohammad Helmi bin Serabah, 39, masih menghadapi pertuduhan membunuh anak perempuannya yang berusia 1 tahun dan 4 bulan pada petang 26 Ogos 2019.
Kes ini sedang menunggu siasatan awal sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff mendedahkan di mahkamah bahawa Ampuan Roslinah menampar pipi anaknya pada bulan Jun 2019, menggigit beberapa kali di lengan, kaki, punggung dan belakangnya, menampar serta mencubit lengannya pada bulan Ogos 2019 di rumah di Jalan Masjid Salambigar, Perpindahan Lambak Kanan.
Ampuan Roslinah didapati menyalahgunakan bahan methylamphetamine dan diuji positif daripada ujian air kencing yang dijalankan pada 27 Ogos 2019.
Hakim Hazarena mengatakan bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan kesakitan dan bukannya melegakan. Hakim menambah anak damit berkenaan yang kini telah meninggal dunia mempunyai tanda-tanda penderaan yang telah berlaku beberapa kali sebelumnya kerana laporan autopsi menunjukkan terdapat kecederaan lama yang nampak semakin pudar. Ampuan Roslinah perlu menjalani hukuman penjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.