Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu didakwa akibat ‘memalukan’ anak

    HELSINGORG, SWEDEN, 9 MEI – Pada tahun 2023, telah tular di TikTok apabila ramai ibu bapa seluruh dunia mula merakam aksi memecahkan telur di dahi anak mereka.

    Ramai yang melihat ini sebagai sekadar gurauan yang tidak berbahaya, walaupun kadang-kadang anak tidak ketawa.

    Tetapi satu kes di Sweden baru-baru ini menjadi tajuk berita utama selepas seorang ibu muda disabit dengan dakwaan mengaibkan anak perempuannya dengan memecahkan telur di dahinya menurut laporan Oddity Central.

    Insiden itu berlaku pada musim panas lalu, apabila ibu muda yang tidak dinamakan itu mengajak anak perempuannya untuk membuat kek epal bersama-sama dan mahu merakam proses tersebut untuk TikTok.

    Pada mulanya, ibu muda berkenaaan mengajak anaknya membuat kek. – Gambar Unsplash

    Pada satu ketika, dengan tiba-tiba ibu muda itu mengambil sebiji telur dan memecahkannya pada dahi anak perempuannya, menyebabkan kuning telur itu mengalir. Anaknya terkejut dan memberitahu ibunya yang sedang ketawa bahawa ia menyakitkan dan memintanya berhenti.

    Video wanita itu mendapat kira-kira 100,000 tontonan di TikTok, tetapi salah seorang yang menonton telah melaporkannya kepada polis dan ibu muda itu menjadi suspek dalam kes ‘memalukan’ anak perempuannya sendiri.

    “Apabila saya melihat video itu, saya fikir: awda tidak sepatutnya berbuat demikian terhadap kanak-kanak. Saya dapati itu amat memalukannya dan itu pendapat peribadi saya,” kata pendakwa raya Cecilia Andersson kepada wartawan.

    Gambar Unsplash

    “Ia hanyalah seorang anak kecil yang menyangka dia akan membuat kek epal bersama ibunya dan merasai saat indah, gembira dan teruja mengenainya. Tetapi tiba-tiba dia diketuk dengan telur di dahinya. Ini adalah satu tindakan melulu,” tambah pendakwa.

    Ibu muda itu mempertahankan dirinya dengan mengatakan ia adalah tindakan yang tidak berbahaya, sekadar gurauan dan ramai telah melakukannya di TikTok untuk hiburan penonton pada masa itu.

    Tetapi alasan demikian tidak dapat diterima hakim. Maka pada bulan lalu, ibu muda  tersebut didapati bersalah kerana memalukan anak perempuannya oleh Mahkamah Daerah Helsingborg dan didenda sebanyak AS$2070 yang perlu dibayar kepada anak perempuannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda