Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu didakwa aniaya anak lelaki hingga cedera

    KUALA LUMPUR, 29 MAC – Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menganiaya anak lelakinya berusia sembilan tahun.

    Peniaga makanan berusia 33 tahun itu didakwa sebagai ibu kepada mangsa telah dengan sengaja menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara 9 malam hingga 9:30 malam pada 9 November 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

    Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya sedang hamil dua bulan dan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan polis. 

    “Pihak pembelaan tidak membantah syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan anak guam juga akan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah,” kata peguam itu.

    Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 2 Mei ini untuk sebutan kes. – Bernama

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda