NEW YORK, 4 DIS – Seorang ibu didakwa membunuh dua anaknya yang ditemui tergantung di tingkat bawah rumah mereka di Pennsylvania, kata pendakwa.
Lisa Snyder, 36, mendakwa anak lelakinya yang berusia 8 tahun dan adik mangsa, seorang perempuan berusia 4 tahun membunuh diri kerana tidak tahan dibuli di sekolah.
“Ini adalah satu kejadian yang amat tragik dan dahsyat,” kata pendakwa daerah, John Adams kepada wartawan, sejurus Snyder ditahan.
Penahanan Snyder dibuat dua bulan selepas Conner dan Brinley ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di pekan kecil Albany Township, 109 kilometer di utara Philadelphia.
Pada 23 September, Snyder yang membesarkan kedua anaknya bersendirian menghubungi talian kecemasan 911 dan mendakwa menjumpai mereka dalam keadaan tergantung di tingkat bawah rumah.
Pasukan perkhidmatan kecemasan menemui keduanya tergantung pada alang kayu dengan menggunakan tali pengikat leher anjing bersama dua kerusi terletak tidak jauh dari tempat mereka.
Mereka cuba menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan namun mereka disahkan meninggal dunia tiga hari kemudian.
Snyder memberitahu polis, Conner sering dibuli di sekolah dan menyuarakan keinginan untuk mati.
“Budak berusia 8 tahun seperti yang saya ketahui, tidak membunuh diri jadi sudah tentu ia menimbulkan persoalan,” kata Adams.
Tambahnya lagi, soal siasat ke atas pihak sekolah dan saudara mara juga mendapati tiada sebarang bukti menunjukkan mangsa dibuli. Pemeriksaan ke atas telefon bimbit dan komputer milik Snyder pula mendapati wanita berkenaan melakukan banyak carian, membabitkan cara untuk menggantung diri atau keracunan karbon monoksida.
Snyder yang tidak dibenarkan untuk diikat jamin didakwa dengan dua pertuduhan membunuh darjah pertama dan merosakkan bukti. Dia turut didakwa dengan satu tuduhan melakukan hubungan seks bersama haiwan. – AFP