Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu gajah setia tunggu anak dilanggar, meruntun hati rakyat

    KUALA LUMPUR, 12 MEI – Walaupun lebih 24 jam telah berlalu, kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi semalam terus meruntun hati rakyat Malaysia.

    Kisah tragis yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki manusia, bahkan turut dirasai oleh haiwan, walaupun tanpa suara.

    Seorang pengguna Facebook, Mohd Amir Faizal menerusi perkongsian secara langsung pagi ini berkata ketika kejadian berlaku, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan. 

    “Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.

    “Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah sifat ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.

    Gambar Freepik

    Mohd Amir berkata selepas gajah itu diberikan ubat penenang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kaki dan lehernya perlu digari.

    Ketika itu, beliau membantu dengan menutup mata gajah menggunakan kain supaya haiwan itu tidak menyedari apa yang sedang dilakukan terhadapnya.

    Paling menyayat hati, katanya, ialah apabila ibu gajah itu meletakkan kepalanya ke dinding lori dalam keadaan lemah selepas diberi ubat penenang, seolah-olah meratapi nasib anaknya yang sudah tidak bernyawa.

    Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seekor gajah dewasa cuba menolak sebuah lori selepas anaknya, yang dianggarkan berusia lima tahun, dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat tersebut.

    Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku di Kilometer 80 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada 2.50 pagi Ahad. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda