KAMPAR, 13 JAN – Seorang ibu hamil enam bulan antara 91 penduduk Kampung Sahom di sini yang berdepan detik cemas ketika menyelamatkan diri sewaktu banjir melanda kawasan itu pada Rabu lepas.
Roziani Armiza, 36, seorang suri rumah berkata sewaktu kejadian, dia dan keluarganya sedang berehat di rumah apabila hujan lebat berterusan sejak pukul 4 petang sehingga air memasuki rumah didiami sejak 40 tahun itu.
“Tidak sempat kemas apa-apa. Air laju, deras sehingga tenggelam semua peralatan di dalam rumah. Nasib baik ada suami dan dua anak berusia 14 dan 15 tahun yang bantu saya selamatkan diri,” katanya sewaktu ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sahom, kira-kira 50 kilometer dari bandar raya Ipoh, hari ini.
Setakat ini, seramai 91 penduduk kampung itu dipindahkan ke PPS berkenaan sejak Rabu malam apabila kampung terbabit dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan pada hari yang sama.
Banjir kilat menyebabkan beberapa rumah di kampung berkenaan terjejas selepas paras air Sungai Rias naik men-dadak. – Bernama



