SZCZECIN, 8 FEB – Seorang wanita warga emas Poland, Barbara Gorecka telah digelar sebagai ‘Ibu kelawar’ kerana beliau sanggup menjaga kelawar yang sakit dari flatnya di tingkat sembilan ketika mamalia nokturnal itu semakin berdepan kesan perubahan iklim.
Barbara Gorecka, 69, mengendalikan tempat perlindungan kelawar di bangunan kediaman tempat tinggalnya dan berkata dia kini telah menjaga kira-kira 1,600 ekor kelawar.

“Semuanya bermula kira-kira 16 tahun lalu, pada Januari yang sangat sejuk… Ia terjadi apabila kelawar mula muncul keluar dari saluran pengudaraan ke apartmen saya,” kata Gorecka kepada AFP di flatnya ketika kelawar berkicau dan terbang di sekelilingnya.
Dia kini memelihara kira-kira puluhan kelawar yang sakit atau cedera, atau yang tiba-tiba terbangun setelah hibernasi.
“Kebanyakannya kelawar yang ada di sini adalah yang keletihan dan yang terbangun akibat bunga api dan sebagainya,” katanya.


Bagi Gorecka, terdapat hubungan yang nyata antara perubahan iklim dan peningkatan bilangan kelawar yang memerlukan bantuan di tempat perlindungannya.
“Dengan cuaca panas dan suhu tinggi yang luar biasa, kelawar-kelawar itu menyangka musim bunga sudah tiba dan akan ada makanan. Malangnya, ia kehilangan tenaga sehinggakan tidak boleh terbang lagi,” kata Gorecka. – AFP

