Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu kota India diselubungi asbut beracun selepas sambutan Diwali

    NEW DELHI, 21 OKT – Kualiti udara di ibu kota India mencatatkan tahap toksik melebihi 56 kali ganda had kesihatan yang disarankan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini, susulan penggunaan bunga api secara besar-besaran sempena sambutan perayaan Hindu, Diwali.

    Awal bulan ini, Mahkamah Agung India melonggarkan larangan terhadap penggunaan bunga api ketika perayaan cahaya itu, dengan membenarkan penggunaan ‘mercun hijau’ yang dikatakan kurang mencemarkan dan direka untuk mengurangkan pelepasan zarah berbahaya.

    Namun, larangan tersebut kerap diabaikan pada tahun-tahun sebelumnya dan kumpulan alam sekitar tetap meragui keberkesanan bahan letupan mesra alam berkenaan.

    Dalam tempoh awal pagi tadi, sejurus selepas kemuncak letupan bunga api, paras zarah halus PM2.5 yang menyebabkan kanser dilaporkan mencecah 846 mikrogram setiap meter padu di beberapa kawasan New Delhi, menurut data pemantauan daripada organisasi IQAir.

    Jumlah itu adalah lebih 56 kali ganda melebihi had maksimum harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Menjelang pagi tadi, kepekatan PM2.5 dilaporkan menurun kepada sekitar 320 mikrogram setiap meter padu, kira-kira 23 kali ganda had WHO, namun masih dianggap paras yang lazim bagi New Delhi pada musim sejuk.

    Gambar menunjukkan jerebu tebal di New Delhi hari ini sehari selepas perayaan Diwali, perayaan cahaya Hindu. – AFP

    Bandar raya itu sering disenaraikan antara ibu kota paling tercemar di dunia.

    Kajian yang diterbitkan dalam The Lancet Planetary Health tahun lalu menganggarkan sebanyak 3.8 juta kematian di India antara 2009 hingga 2019 mempunyai kaitan dengan pencemaran udara.

    Agensi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) turut memberi amaran bahawa udara tercemar meningkatkan risiko jangkitan pernafasan akut dalam kalangan kanak-kanak. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda