Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu mengandung disaran kerja dari rumah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Dari segi kesihatan, ibu yang mengandung adalah berisiko sedikit lebih tinggi apabila dijangkiti COVID-19, menjadikan mereka sebahagian daripada kumpulan berisiko tinggi.

    Dengan itu, Kementerian Kesihatan meminta budi bicara jabatan atau institusi individu berkenaan untuk meletakkan mereka berpangkalan pada Bekerja Dari Rumah (WFH).

    Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.

    Sementara itu, dari segi vaksin COVID-19, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa berdasarkan data yang ada, vaksin mRNA cukup selamat untuk ibu yang mengandung, di mana mereka biasanya menyarankan agar diberi vaksin pada trimester kedua dan seterusnya.

    Tetapi dalam hal penularan masyarakat atau bagi barisan hadapan yang masih dalam trimester pertama, dengan mempertimbangkan risiko dan faedahnya, beliau berkata bahawa lebih baik mereka diberi vaksin.

    “Walaupun kami berkata bahawa Moderna sudah habis untuk orang ramai, kami telah memperuntukkan cadangan khusus untuk kumpulan khas ini. Sekiranya mereka ingin diberikan vaksin, mereka harus memberitahu dan kami akan memberikan mereka vaksin mRNA,” kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    Selain mengenai ibu mengandung, beliau turut menjelaskan mengenai Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) di mana syarikat-syarikat mesti dapat menunjukkan mereka mempunyai BCP kerana setiap syarikat atau institusi mesti menunjukkan usaha mereka dalam mengurangkan bilangan orang yang keluar dari kediaman mereka.

    “Sebagai contoh, syarikat perakaunan di mana pekerja boleh bekerja dari rumah, jika didapati bahawa 100 peratus pekerja masih bekerja dari pejabat, kompaun boleh dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

    “Tetapi kami tidak mahu terlalu mengarah (dictatorial), kami ingin orang ramai menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengurangkan jumlah orang yang keluar dari rumah mereka dan mengurangkan penyebaran masyarakat,” ujar beliau.

    Tetapi, tambah beliau, ada orang-orang tertentu yang tidak dapat bekerja seperti yang disebutkan sebelum ini seperti kedai gunting rambut dan seumpamanya kerana mereka mempunyai kontak yang sangat dekat dengan pelanggan.

    Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada sesi soal jawab tersebut berkata bahawa kerajaan juga akan menyiasat sebab-sebab mengapa majikan tidak mengikuti arahan WFH atau prosedur operasi standard (SOP) asas seperti orang yang memasuki kedai tanpa penutup mulut dan hidung atau mengimbas kod QR BruHealth yang wajib dipatuhi oleh semua orang.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa jika terdapat aduan atau individu meminta nasihat, mereka bolehlah menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 di mana agensi tersebut akan turun dan menyiasat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda