NEW DELHI, 13 NOV – Penduduk di ibu negara India, New Delhi berasa lemas diselubungi asbut toksik hari ini apabila pencemaran udara yang semakin teruk melepasi 50 kali ganda daripada had maksimum harian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ramai di bandar tersebut tidak mampu membeli penapis udara, dan mereka juga tiada rumah yang dapat ditutup dengan berkesan daripada udara busuk yang dikaitkan dengan ribuan kematian pramatang.
Suhu yang lebih sejuk dan angin yang bergerak perlahan memerangkap bahan pencemar berbahaya setiap musim sejuk, yang berlangsung dari pertengahan Oktober sehingga sekurang-kurangnya Januari.
Pada awal hari ini, tahap bahan pencemar yang ‘berbahaya’ di beberapa kawasan di bandar yang besar dengan lebih 30 juta penduduk itu melebihi 806 mikrogram setiap meter padu, menurut firma pemantauan IQAir.
Bacaan itu adalah lebih 53 kali ganda had maksimum harian yang disyorkan oleh WHO untuk zarah halus – mikropartikel berbahaya penyebab kanser yang dikenali sebagai pencemar PM2.5 yang memasuki aliran darah melalui paru-paru.
Pada tengah hari, apabila udara biasanya berada pada tahap terbaik, ia berkurangan kepada kira-kira 25 hingga 35 kali ganda daripada tahap bahaya, di daerah yang berbeza.
Bikramjeet Singh, 25, yang bekerja sebagai pengurus keselamatan kesihatan alam sekitar, berkata bernafas di Delhi seperti menghisap rokok dan beliau bimbang untuk mereka yang menghidap asma.
“Orang yang lebih tua mengalami kesukaran untuk bernafas,” katanya.
New Delhi diselubungi asbut yang menusuk hidung setiap tahun, yang sebahagian besarnya disebabkan pembakaran jerami oleh petani di kawasan berdekatan untuk membersihkan ladang mereka sebelum membajak, serta asap kilang dan lalu lintas. – AFP