NEW DELHI, 30 Jan – Satu laporan telah mendedahkan bahawa ibu negara India sebagai bandar yang paling tercemar, manakala Uttar Pradesh menjadi negeri yang paling tercemar di India.
Laporan itu yang bertajuk Airpocalypse II dikeluarkan oleh sebuah organisasi alam sekitar global di India, Greenpeace, telah mendapati Delhi sebagai bandar yang paling tercemar di India, manakala 15 dari 30 buah bandar di negara itu sebagai bandar tercemar, dan Uttar Pradesh dilaporkan sebagai negeri yang paling tercemar.
Menurut laporan itu, bandar-bandar yang berada di bawah negeri Uttar Pradesh termasuk ibu negerinya Lucknow, Noida, Ghazibad di pinggir Delhi, Varanasi, Allahabad, Kanpur dan Agra.
Laporan berkenaan dikeluarkan adalah berdasarkan data pencemaran udara – 10 tahap PM (particulate matter) – yang dikumpulkan oleh Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat dan Negeri.
Ibu negara India, Delhi dan kesemua 15 bandar di Uttar Pradesh didapati mengandungi tahap PM 10, melebihi had yang dibenarkan iaitu 20 mikrogram bagi setiap meter padu (berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia) dan 60 (berdasarkan piawaian India), tambah laporan itu.
Selain Delhi dan Uttar Pradesh, negeri Rajasthan dan Maharashtra di barat dan Bihar di selatan merupakan kawasan di mana ramai kanak-kanak ‘terjejas dengan teruk.’
“Kesemua negeri ini yang menjadi tempat tinggal kepada seramai 12.9 juta orang kanak-kanak berusia lima tahun atau ke bawah, terperangkap dalam keadaan udara teruk yang melebihi dua kali ganda dari standard tahunan,” yang dikatakan sebagai membimbangkan.
Tiada sebarang ulasan dikeluarkan oleh kerajaan India terhadap laporan berkenaan. – Xinhua