Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu pejabat angkasa Afrika dirasmikan di Kaherah

    KAHERAH, 21 APRIL – Mesir merasmikan ibu pejabat Agensi Angkasa Afrika (AfSA) di Kaherah kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.

    “Mesir berusaha keras dalam merealisasikan penubuhan agensi ini, yang mencerminkan visi ‘Afrika yang Kita Mahukan’ sebagaimana digariskan dalam Agenda 2063 Kesatuan Afrika,” kata Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty pada majlis perasmian itu.

    Beliau menegaskan agensi terbabit akan menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara-negara Afrika bagi penggunaan ruang angkasa secara aman, pertukaran kepakaran, pembangunan kapasiti serta penyatuan pendirian Afrika dalam forum antarabangsa, khususnya di bawah kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Gambar fail, Badr Abdelatty di Egypt, pada 16 Januari. -AP

    Abdelatty turut menekankan kepentingan keterbukaan agensi itu terhadap kerjasama dengan institusi penyelidikan, universiti dan agensi angkasa antarabangsa, yang akan menyumbang ke arah pembinaan asas kukuh dalam bidang sains dan teknologi angkasa lepas.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Angkasa Mesir Sherif Sedky menyifatkan perasmian AfSA sebagai pencapaian penting dalam sejarah pembangunan Afrika.

    “AfSA akan menjadi mercu tanda kepada inovasi, kerjasama dan kemajuan bagi semua negara Afrika,” katanya.

    Selepas perasmiannya, AfSA kini berperanan sebagai entiti utama dalam menyelaras kerjasama angkasa antara benua Afrika dengan Eropah dan rakan antarabangsa lain.

    Objektif utamanya ialah memperkukuh misi angkasa di seluruh Afrika, termasuk memastikan akses optimum kepada perkhidmatan, produk, maklumat dan data angkasa lepas.

    Mesir dipilih sebagai tuan rumah AfSA oleh Kesatuan Afrika pada 2019 selepas memenuhi kriteria politik dan teknikal yang ditetapkan. -Bernama

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda