Sunday, May 11, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu pejabat polis di Mesir terbakar

    KAHERAH, 2 OKT – Kebakaran besar berlaku hari ini di sebuah kemudahan polis di timur laut Mesir, mencederakan sekurang-kurangnya 38 orang sebelum pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran beberapa jam kemudian, kata pihak berkuasa.

    Punca kebakaran yang memusnahkan ibu pejabat polis bertingkat di wilayah Terusan Suez di Ismailia tidak diketahui dengan segera.

    Menteri Dalam Negeri, Mahoud Tawfiq, yang mentadbir pasukan polis bergegas ke tempat kejadian di bandar Ismailia, kira-kira 125 kilometer di timur laut Kaherah. Beliau berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat kebakaran itu.

    Hossam Abdel-Ghaffar, jurucakap Kementerian Kesihatan, berkata dalam satu kenyataan bahawa 12 daripada yang cedera menerima rawatan di tempat kejadian, manakala 26 lagi dibawa ke hospital. Hampir semua mengalami kesukaran bernafas, tujuh daripada yang cedera telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang, katanya.

    Belum jelas berapa ramai anggota polis yang berada di bangunan pada masa itu. Media tempatan melaporkan bahawa bangunan polis itu rosak teruk akibat kebakaran.

    Video yang tersebar di media sosial menunjukkan api besar dan asap hitam keluar dari bangunan. Agensi berita MENA yang dikendalikan negara berkata, pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran selepas beberapa jam.

    Piawaian keselamatan dan peraturan kebakaran kurang dikuatkuasakan di Mesir dan telah dikaitkan dengan banyak kematian. Pada Ogos 2022, kebakaran di gereja Ortodoks Koptik yang sesak ketika sembahyang pagi di Kaherah meragut nyawa 41 jemaah, menjadi salah satu kebakaran paling teruk di Mesir dalam beberapa tahun. – AP

    Pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran bangunan ibu pejabat polis yang terbakar di Ismailia, timur laut Mesir kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda