Ibu penghidap kanser saman firma racun rumpai

LOS ANGELES, 14 SEPT – Seorang wanita memfailkan saman terhadap syarikat pengeluar racun rumpai jenama Roundup kerana mendakwa anaknya menghidap kanser selepas terdedah kepada racun rumpai berkenaan.

Ezra Clark baru berusia empat tahun ketika dia didiagnosis pada Februari 2016 dengan limfoma Burkitt, iaitu sejenis kanser sangat agresif yang mempengaruhi kelenjar limfa.

Menurut saman difailkan di mahkamah Los Angeles oleh Destiny Clark, anaknya secara langsung terdedah ketika dia menyembur kawasan rumah dengan racun keluaran syarikat Monsanto.

Dokumen yang dilihat oleh AFP, menyatakan pakar merumuskan dengan tahap kepastian perubatan yang wajar, bahawa pendedahan Ezra terhadap Roundup adalah faktor penting yang menyebabkan penyakitnya. Peguam Clark berkata Monsanto mengetahui hubungan antara racun rumpai berasaskan glyphosate dan kanser selama beberapa dekad.

Mereka berkata syarikat agrokimia Amerika Syarikat (AS) itu yang kini adalah anak syarikat Bayer dari Jerman, melakukan kajian yang tidak mencukupi mengenai kesan karsinogenik glifosat dan bahan lain yang membentuk produk akhir.

“Sekiranya plaintif mengetahui risiko (penyakit) yang berkaitan dengan penggunaan Roundup pada waktu itu … dia tidak akan menggunakannya,” kata peguam melalui saman yang tidak menyatakan jumlah tuntutan ganti rugi secara khusus. – AFP