Ibu presiden Indonesia disemadikan

JAKARTA, 26 MAC – Pemakaman jenazah ibu kepada Presiden Indonesia, berlangsung penuh duka, ketika dunia dan Indonesia menghadapi pandemik  virus COVID-19, yang kini membataskan sebarang perhimpunan atau majlis yang dihadiri ramai orang, bagi mengekang penularan virus itu.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) memohon rakyat Indonesia memanjatkan doa mereka dari rumah, sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham ibunya Sudjiatmi Notomihardjo, yang disemadikan di Pemakaman Keluarga Mundu, di Surakarta, Jawa Tengah, kira-kira 1:30 petang waktu Indonesia barat.

Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia Mahfud MD dalam satu kenyataan berkata, Jokowi telah meminta barisan menteri kabinetnya agar tidak menghadiri upacara pengebumian itu, dan meminta masyarakat turut tidak berbuat demikian.

Jenazah ibu Jokowi disolatkan di Masjid Baitul Rahman, yang terletak berdekatan rumah Allahyarham, sebelum dibawa ke tempat pengebumian. Majlis pengebumian itu juga dihadkan jumlah kehadiran yang dihadiri Jokowi, keluarga terdekat dan petugas protokol dan keselamatan.

Allahyarham meninggal dunia di Rumah Sakit Slamet Riyad, Surakarta pada usia 77 tahun, jam 4:45 petang semalam waktu Indonesia Barat, akibat kanser yang dideritainya sejak empat tahun lepas. – Bernama

Presiden Joko Widodo (tengah) melihat potret ibunya tatkala pengawal keselamatan presiden bersedia mengusung keranda semasa pengebumiannya di Solo, Java Tengah. – AFP