SYDNEY, 16 JAN – Seorang ibu di Australia didakwa meracun anak damit perempuannya yang berusia setahun dan memuat naik video penderitaan anak damit tersebut untuk mendapatkan sumbangan melalui platform GoFundMe, menurut polis dan media tempatan hari ini.
Wanita berusia 34 tahun itu didakwa melakukan pelbagai usaha untuk menyembunyikan tindakannya memberikan ubat preskripsi dan farmasi kepada anaknya tanpa kebenaran perubatan, kata Detektif Inspektor Paul Dalton dari Queensland kepada media.
Kakitangan hospital di Brisbane, ibu kota Queensland, melaporkan kecurigaan mereka kepada polis pada Oktober tahun lalu ketika anak damit itu dirawat kerana keadaan kesihatan mental yang serius, jelas Dalton.
Polis segera mengambil ‘tindakan segera’ untuk melindungi anak damit tersebut dan melancarkan siasatan, tambahnya.
Wanita dari Sunshine Coast, Queensland, itu dilaporkan secara meluas oleh media tempatan sebagai ibu kepada anak damit tersebut, meskipun pihak polis tidak mengesahkan secara rasmi hubungan itu.
Beliau dituduh merakam dan memuat naik gambar serta video penderitaan dan kesakitan anak damit tersebut dari Ogos hingga Oktober tahun lalu untuk mendapatkan sumbangan kewangan daripada pengikut dalam talian, jelas Dalton.
Ujian terhadap ubat-ubatan yang tidak dibenarkan dikatakan memberikan hasil positif pada bulan ini, menurut pihak polis.
Wanita itu didakwa hari ini dengan 11 pertuduhan.
“Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa menjijikkan kesalahan seperti ini,” kata Dalton.
“Tiada alasan untuk mencederakan seorang kanak-kanak, terutama sekali anak damit yang begitu muda dan sepenuhnya bergantung kepada orang dewasa untuk dijaga serta diberi kasih sayang.”
Wanita tersebut didakwa berjaya mengumpulkan lebih Aus$60,000 (AS$37,000) melalui GoFundMe. Dalton berkata platform tersebut kini sedang berusaha untuk memulangkan wang tersebut kepada para penderma. Dia dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Brisbane esok. – AFP