JOHOR BAHRU, 28 DIS – Ibu kepada kanak-kanak lelaki empat tahun yang meninggal dunia kerana dipercayai didera, dilihat terduduk dan menangis ketika melihat jenazah anaknya itu buat kali terakhir.
Wanita itu yang sedang menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam, Kluang akibat kesalahan dadah, tiba di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 2:15 petang dengan diiringi dua pegawai penjara.
Dia yang memakai baju tahanan berwarna ungu diberi peluang melihat jenazah anaknya itu kira-kira lima minit dan dilihat menangis sebaik keluar dari bilik forensik itu sebelum menuju ke van Jabatan Penjara Malaysia.
Bapa kanak-kanak itu juga sedang menjalani tempoh tahanan di Penjara Sungai Udang, Melaka atas kesalahan dadah.
Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 11 beradik, meninggal dunia selepas empat hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI, selepas dilaporkan pengsan di rumah rakan kakak kandungnya di Sengga-rang, Batu Pahat, sebelum meninggal dunia pada 26 Disember.
Sementara itu, datuk saudara mangsa Ruslan Ahmad, 47, yang pernah menjaga kanak-kanak itu sebelum ini terkilan dengan kejadian yang menimpa dan berharap agar individu yang didapati bersalah dikenakan hukuman setimpal.
Ruslan yang ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik HSI berkata mangsa pernah mendapat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selama tiga tahun sebelum diserahkan kepadanya untuk dijaga selama sebulan. – Bernama


