Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu tunggal terima rumah bantuan Yayasan

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seorang ibu tunggal, semalam, telah menerima rumah bantuan yang dibiayai Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bersama-sama kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Penyerahan anak kunci rumah kepada Dayang Zainab binti Jaafar telah diadakan di rumah ketua Kampung Burong Pingai Ayer di mana anak kunci diserahkan oleh Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

    Bagi membiayai rumah bantuan Dayang Zainab berkenaan, Yayasan menyumbangkan sebanyak $5,000 dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui JAPEM menyumbangkan $5,000.

    Rumah asal Dayang Zainab di Kampung Saba Darat ‘B’ dalam keadaan condong dan tidak selamat untuk didiami dan beliau sekeluarga telah ditempatkan untuk tinggal sementara di Kompleks Sukan Menjalin Kampung Sungai Kebun.

    Dato Paduka Eddie menyampaikan kunci rumah yang dibiayai oleh Yayasan dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui JAPEM, KKBS.

    Dayang Zainab mempunyai tanggungan lima orang anak dan tidak mempunyai pekerjaan dengan hanya menerima bantuan bulanan JAPEM.

    JAPEM dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah mengendalikan urusan pembelian dan tukar milik sebuah rumah terpakai di Kampung Burong Pingai Ayer untuk disumbangkan kepada Dayang Zainab.

    Pemberian rumah bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan secara bersepadu dengan agensi-agensi yang terlibat bertujuan bagi melahirkan semangat kerjasama secara kolektif membantu mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini iaitu selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda